SKUAD Mexico kali ini tampil lebih yakin untuk memberikan saingan di pentas Piala Dunia Rusia walaupun mereka menghuni dalam kumpulan F yang turut dibarisi beberapa pasukan yang hebat termasuk Jerman, Sweden dan Korea Selatan.
Di atas kertas, Mexico diramal berdepan laluan yang mencabar untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya terutamanya diundi bersama Jerman yang menduduki ranking pertama dunia.
Bagaimanapun penyerangnya, Javier Hernandez tetap optimis Mexico mampu memberikan saingan hebat kerana mereka mempunyai pengendali yang genius dan berpengalaman dalam mengatur strategi ketika berdepan pihak lawan.
Juan Carlos Osorio yang mengendalikan skuad El Tri sejak 2015 tersebut dianggap mampu membawa pembaharuan serta sinar baharu kepada pasukan selepas Mexico hanya berpeluang beraksi pada pusingan kedua sahaja di Piala Dunia Brazil sebelum ini.
“Ia adalah peluang yang sangat baik apabila diberi peluang beraksi di bawah kendalian Osorio kerana beliau mempunyai karakter yang baik sebagai seorang jurulatih.
“Saya memanggilnya seorang yang genius kerana mempunyai pengetahuan yang luas jika membicarakan soal bola sepak.
“Jika saya berbincang dengannya untuk tempoh lima minit sahaja mengenai seseorang pemain atau pasukan, beliau mampu menerangkan segalanya terhadap perbincangan tersebut dengan jelas,” kata Hernandez.
Bagaimanapun, keyakinan tersebut tidak menggambarkan mereka mampu mencipta sejarah di Rusia sebaliknya boleh memberikan perubahan yang positif berbanding kempen sebelum ini.
“Bukan mudah untuk mencipta sejarah dalam kempen Piala Dunia, namun apa yang kami mahukan adalah untuk mencuba sehabis baik untuk disumbangkan buat pasukan.
“Pemain perlu mencuba segala-galanya kerana dalam bola sepak semua pasukan layak untuk menang walaupun keyakinan tidak akan menjamin sesebuah pasukan untuk berjaya,” ujarnya.
Sebagai rekod, Mexico hanya layak mara pada pusingan kedua sahaja sebelum disingkirkan sejak pentas Piala Dunia Amerika Syarikat 1994 sehingga di Piala Dunia Brazil 2014. -kosmo
Menarik? Komen la sepatah dua.. EmoticonEmoticon