Australia Tewas 2-1 Kepada Perancis

KAZAN - Perancis mampu menarik nafas lega selepas sistem bantuan pengadil telah membantu mereka memperoleh tiga mata selepas menang 2-1 ke atas Australia pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Piala Dunia sebentar tadi.

Skuad kendalian Didier Deschamps terlebih dahulu menemui gol menerusi sepakan penalti selepas penilaian Video Bantuan Pengadil (VAR) setelah Antoine Griezmann dijatuhkan dalam kotak penalti ternyata memberikan kelebihan buat skuad Les Blues pada minit ke-58.

Perlawanan terpaksa diberhentikan seketika setelah Joshua Risdon menjatuhkan Griezmann sekali gus memaksa pengadil menggunakan VAR bagi memutuskan keputusan kritikal tersebut yang akhirnya memberikan kelebihan buat Perancis untuk mendapatkan gol pembukaan.

Australia turut memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti hasil sentuhan Mile Jedinak selepas bola terkena tangan Samuel Umtiti berselang empat minit kemudian.

Jaringan kemenangan Les Blues hadir selepas teknologi garisan gol mengesahkan jaringan Paul Pogba apabila bola yang terkena palang sedikit sahaja melepasi garisan gol sebelum keluar semula pada minit ke-80.

Keputusan tersebut menyaksikan wakil dari Asia itu gagal memperoleh sebarang mata apabila skuad kendalian Bert van Marwijk buntu untuk mencari gol penyamaan meskipun tambahan masa lima minit diberikan oleh pengadil perlawanan.

“Saya sangat kecewa dengan perlawanan pembukaan ini kerana kami merasakan adalah layak untuk memperoleh mata ketika berdepan Perancis.

“Impian Australia kelihatan positif pada peringkat permulaan kerana pemain berjaya memberi tentangan sengit kepada Perancis, namun mereka menang atas kelebihan keputusan teknikal,” katanya. - Agensi

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Menarik? Komen la sepatah dua.. EmoticonEmoticon