MOSCOW - Pemain sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo sekali lagi muncul wira negaranya selepas meledak gol kemenangan pada aksi kedua Kumpulan B dengan menewaskan Maghribi 1-0 di Stadium Luzhniki.
Pada perlawanan tersebut, jaringan seawal minit ke-4 yang dilakukan oleh Ronaldo yang juga kapten pasukan Portugal sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat negaranya yang sebelum ini seri 3-3 dengan Sepanyol.
Tersentak dengan gol tersebut, Maghribi cuba untuk bangkit dengan memperkemaskan jentera serangan tetapi gagal membolosi gawang Portugal yang dikawal oleh Rui Patricio.
Portugal turut memiliki beberapa peluang keemasan untuk meledak gol kedua namun tidak berjaya dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Lebih manis, jaringan tunggal pemain berusia 35 tahun itu merupakan yang ke-4 dalam pentas Piala Dunia kali ini selain ke-85 secara keseluruhan di peringkat antarabangsa.
Ia sekali gus meletakkan namanya kini di kedudukan kedua selaku penjaring terbanyak di pentas antarabangsa dan hanya ketinggalan di belakang penyerang legenda Iran, Ali Daie yang meledak 109 gol.
Kemenangan tersebut menyaksikan Portugal mengumpul empat mata manakala Maghribi sah tersingkir daripada peringkat Kumpulan B selepas turut tewas 0-1 di tangan Iran dalam aksi pertama sebelum ini. -Agensi
Menarik? Komen la sepatah dua.. EmoticonEmoticon