MOSCOW - Pasukan Senegal menjadi negara pertama dari benua Afrika yang berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Poland 2-1 dalam aksi Kumpulan H di Spartak Arena.
Pasukan yang terkenal dengan gelaran The Lions itu nyata tidak gentar untuk memberi asakan kepada Poland yang dibarisi oleh beberapa jaguh ternama dunia seperti Robert Lewandowski.
Asakan bertali arus Senegal membuahkan hasil apabila sepakan Idrissa Gueye pada minit ke-38 terkena tempias tonggak pertahanan Poland, Thiago Cionek untuk menghadiahkan kelebihan satu gol pada babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Senegal terus rancak menyerang menerusi penyerang sensasi Liverpool yang juga kapten pasukan, Sadio Mane yang bijak memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
Ia nyata memberi tekanan berganda selepas pemain Poland, Grzegorz Krychowiak melakukan kesilapan dengan menghantar bola kepada M'Baye Niang yang tidak mempunyai masalah untuk meledak gol kedua buat Senegal pada minit ke-60.
Poland berjaya memperkemaskan jentera serangan dan usaha keras mereka untuk merapatkan kedudukan berhasil selepas Krychowiak menanduk masuk hasil daripada sepakan percuma yang diambil oleh Kamil Grosicki pada minit ke-86.
Bagaimanapun, usaha Poland mencari gol penyamaan tidak berhasil dan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan Senegal kini berkongsi mata dengan Jepun dalam Kumpulan H selepas turut mencatat kemenangan selepas menewaskan Colombia 2-1. - Agensi
Menarik? Komen la sepatah dua.. EmoticonEmoticon