MORDOVIA, Rusia - Pasukan Jepun mencipta kejutan tersendiri selepas berjaya menewaskan pasukan pilihan, Colombia dengan keputusan 2-1 pada aksi Kumpulan H di Mordovia Arena.
Pada perlawanan tersebut, jaguh Amerika Selatan kelihatan tempang apabila ayam tambatannya, James Rodriguez gagal berada dalam kesebelasan utama selepas mengalami kecederaan betis.
Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh pasukan Samurai Biru khususnya apabila Colombia diarahkan beraksi dengan 10 pemain ketika saingan baru bermula tiga minit.
Ia susulan tindakan kurang bijak dilakukan oleh Carlos Sanchez yang menahan bola menggunakan tangan dalam kotak penalti sehingga menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan Jepun.
Kelebihan tersebut diambil sepenuhnya oleh Jepun selepas Shinji Kagawa berjaya menyudahkan tendangan penalti dengan menewaskan penjaga gol Colombia, David Ospina.
Enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal, Colombia berusaha untuk bangkit dan berjaya meraih gol penyamaan menerusi Fernando Quintero dengan sepakan percuma pada minit ke-39.
Bersambung pada babak kedua, Jepun melipat gandakan usaha untuk meraih gol kemenangan dan berjaya meraih beberapa peluang keemasan menerusi Kagawa, Yuya Osako dan Takashi Inui.
Gol yang dicari akhirnya ditemui apabila Osako berjaya meledak gol pada minit ke-74 selepas bijak menyambar tendangan penjuru Keisuke Honda.
Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menghadiahkan skuad kendalian Akira Nishino tiga mata berharga.
Kumpulan H turut dihuni oleh Poland dan Senegal. -Agensi
Menarik? Komen la sepatah dua.. EmoticonEmoticon