Fashion

Technology

Entertainment

Recent Posts

Gol Tunggal Ronaldo Benam Maghribi

MOSCOW - Pemain sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo sekali lagi muncul wira negaranya selepas meledak gol kemenangan pada aksi kedua Kumpulan B dengan menewaskan Maghribi 1-0 di Stadium Luzhniki.
Pada perlawanan tersebut, jaringan seawal minit ke-4 yang dilakukan oleh Ronaldo yang juga kapten pasukan Portugal sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat negaranya yang sebelum ini seri 3-3 dengan Sepanyol.
Tersentak dengan gol tersebut, Maghribi cuba untuk bangkit dengan memperkemaskan jentera serangan tetapi gagal membolosi gawang Portugal yang dikawal oleh Rui Patricio.
Portugal turut memiliki beberapa peluang keemasan untuk meledak gol kedua namun tidak berjaya dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Lebih manis, jaringan tunggal pemain berusia 35 tahun itu merupakan yang ke-4 dalam pentas Piala Dunia kali ini selain ke-85 secara keseluruhan di peringkat antarabangsa.
Ia sekali gus meletakkan namanya kini di kedudukan kedua selaku penjaring terbanyak di pentas antarabangsa dan hanya ketinggalan di belakang penyerang legenda Iran, Ali Daie yang meledak 109 gol.
Kemenangan tersebut menyaksikan Portugal mengumpul empat mata manakala Maghribi sah tersingkir daripada peringkat Kumpulan B selepas turut tewas 0-1 di tangan Iran dalam aksi pertama sebelum ini. -Agensi

Jerman Akan Pamer Rentak 'Sang Juara' - Lahm

MUNICH - Bekas kapten pasukan Jerman, Philipp Lahmoptimis skuad negaranya akan bangkit semula pada aksi kedua Piala Dunia selepas tewas mengejut 0-1 dalam perlawanan pertama di tangan Mexico, Ahad lalu.

Katanya, semua 23 pemain yang dipilih untuk mewakili Jerman pada edisi Piala Dunia kali ini memiliki kualiti tersendiri memandangkan ia adalah kombinasi antara skuad Piala Dunia 2014 dan barisan muda yang memenangi Piala Konfederasi tahun lalu.

"Ini adalah skuad yang cukup unik dan saya percaya jurulatih (Joachim Loew) sudah memiliki perancangan untuk aksi kedua menentang Sweden, Sabtu nanti.

"Dia (Loew) memiliki pengalaman luas bersama skuad kebangsaan dan kekalahan tersebut pasti tidak memberi kesan yang ketara.

"Barisan pemain muda kami masih belajar dan saya harap kekalahan itu akan membuatkan mereka lebih semangat untuk bangkit pada aksi seterusnya," katanya.

Lahm yang memiliki caps antarabangsa sebanyak 113 kali bersama Jerman merupakan kapten ketika pasukan itu menjulang trofi Piala Dunia buat kali keempat di Brazil pada 2014. -Agensi

Dybala Tiada Masalah Dengan Messi

MOSCOW - Pemain muda Argentina, Paulo Dybala mengakui tidak mempunyai masalah sekiranya digandingkan bersama ketua pasukan, Lionel Messi pada aksi kedua Kumpulan D menentang Croatia esok.

Jelasnya, Messi bukanlah pemain yang akan diletakkan dalam bangku simpanan dan merupakan nama pertama yang dipilih oleh jurulatih, Jorge Sampaoli untuk kesebelasan utama.

Susulan itu, Dybala berharap jurulatih dapat memberi ruang kepadanya membuktikan keupayaan selepas dipinggirkan dalam aksi pertama ketika dikecewakan 1-1 dengan Iceland minggu lalu.

"Saya akui bermain di posisi (No. 10) yang sama dengan Messi, namun ia tidak bermakna kami tidak boleh digandingkan bersama.

"Apa yang penting, kami perlu mengamalkan corak menyerang dan hanya tiga mata maksimum ke atas boleh mencerahkan semula peluang kami," katanya.

Croatia memulakan saingan Kumpulan D dengan langkah kanan selepas menewaskan Nigeria 2-0 sebelum ini. -Agensi

Rusia Mara Ke Pusingan Kedua Selepas Tewaskan Mesir 3-1

KUALA LUMPUR - Hajat Mesir untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA hancur berkecai selepas tewas kali kedua, kali ini dibelasah tuan rumah Rusia 1-3 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Saint-Petersburg.

Tiga gol dalam masa 20 minit di babak kedua menjadi pemusnah kepada impian Mesir untuk layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama setelah penampilan terakhir mereka pada edisi 1990 di Itali turut berakhir di peringkat kumpulan.

Selepas dikecewakan 0-1 kepada jaringan lewat Uruguay pada aksi pertama Sabtu lalu, 'The Pharaohs' berharap dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagi mengelak daripada pulang awal dalam kempen di Rusia ini.

Namun, dengan aksi serba tidak menjadi, Mesir terpaksa akur dengan kegagalan mereka mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan, sekali gus menjadi pasukan pertama tersingkir awal meskipun mempunyai baki satu lagi perlawanan menentang Arab Saudi.

Rusia pula mengharapkan kemenangan bagi mengesahkan slot ke saingan kalah mati tersebut selepas menang besar 5-0 ke atas Arab Saudi pada perlawanan pertama.

Hajat mereka itu akhirnya tercapai selepas pertahanan dan kapten Mesir, Ahmed Fathi tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-47 sebelum Denis Cheryshev (59) dan Artem Dzyuba (62) masing-masing meledakkan gol dalam masa tiga minit.

Kehadiran Mohamed Salah dalam skuad utama Mesir selepas tidak diturunkan ketika pertemuan dengan Uruguay, pada mulanya diramal mampu menyuntik semangat dan kekuatan jentera serangan 'The Pharaohs'.

Namun, selepas berehat selama tiga minggu akibat kecederaan bahu, bintang Liverpool itu dilihat kurang menyerlah meskipun menyumbang satu gol menerusi penalti pada minit ke-74.

Persembahan skuad kendalian Hector Cuper itu juga tampak kurang bermaya dan jauh berbeza berbanding ketika menentang Uruguay yang mana mereka tampil lebih bertenaga dan banyak melancarkan serangan berbahaya.

Sebaliknya Rusia yang lebih banyak menguasai permainan dan mencemaskan benteng pertahanan Mesir menerusi gerakan lincah pemain sayap Cheryshev dan penyerang tinggi lampai Yury Gazinsky.

Kemenangan ini menyaksikan Rusia menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kedua dengan baki satu perlawanan menentang Uruguay.

Manakala Uruguay juga berpeluang layak ke pusingan sama sekiranya menang ke atas Arab Saudi pada aksi kedua malam ini. -kosmo

Senegal Julang Benua Afrika Tewaskan Poland 2-1

MOSCOW - Pasukan Senegal menjadi negara pertama dari benua Afrika yang berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Poland 2-1 dalam aksi Kumpulan H di Spartak Arena.
Pasukan yang terkenal dengan gelaran The Lions itu nyata tidak gentar untuk memberi asakan kepada Poland yang dibarisi oleh beberapa jaguh ternama dunia seperti Robert Lewandowski.
Asakan bertali arus Senegal membuahkan hasil apabila sepakan Idrissa Gueye pada minit ke-38 terkena tempias tonggak pertahanan Poland, Thiago Cionek untuk menghadiahkan kelebihan satu gol pada babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Senegal terus rancak menyerang menerusi penyerang sensasi Liverpool yang juga kapten pasukan, Sadio Mane yang bijak memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
Ia nyata memberi tekanan berganda selepas pemain Poland, Grzegorz Krychowiak melakukan kesilapan dengan menghantar bola kepada M'Baye Niang yang tidak mempunyai masalah untuk meledak gol kedua buat Senegal pada minit ke-60.
Poland berjaya memperkemaskan jentera serangan dan usaha keras mereka untuk merapatkan kedudukan berhasil selepas Krychowiak menanduk masuk hasil daripada sepakan percuma yang diambil oleh Kamil Grosicki pada minit ke-86.
Bagaimanapun, usaha Poland mencari gol penyamaan tidak berhasil dan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan Senegal kini berkongsi mata dengan Jepun dalam Kumpulan H selepas turut mencatat kemenangan selepas menewaskan Colombia 2-1. - Agensi

Jepun Cipta Kejutan Benam Colombia 2-1

MORDOVIA, Rusia - Pasukan Jepun mencipta kejutan tersendiri selepas berjaya menewaskan pasukan pilihan, Colombia dengan keputusan 2-1 pada aksi Kumpulan H di Mordovia Arena.

Pada perlawanan tersebut, jaguh Amerika Selatan kelihatan tempang apabila ayam tambatannya, James Rodriguez gagal berada dalam kesebelasan utama selepas mengalami kecederaan betis.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh pasukan Samurai Biru khususnya apabila Colombia diarahkan beraksi dengan 10 pemain ketika saingan baru bermula tiga minit.

Ia susulan tindakan kurang bijak dilakukan oleh Carlos Sanchez yang menahan bola menggunakan tangan dalam kotak penalti sehingga menyebabkan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan Jepun.

Kelebihan tersebut diambil sepenuhnya oleh Jepun selepas Shinji Kagawa berjaya menyudahkan tendangan penalti dengan menewaskan penjaga gol Colombia, David Ospina.

Enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal, Colombia berusaha untuk bangkit dan berjaya meraih gol penyamaan menerusi Fernando Quintero dengan sepakan percuma pada minit ke-39.

Bersambung pada babak kedua, Jepun melipat gandakan usaha untuk meraih gol kemenangan dan berjaya meraih beberapa peluang keemasan menerusi Kagawa, Yuya Osako dan Takashi Inui.

Gol yang dicari akhirnya ditemui apabila Osako berjaya meledak gol pada minit ke-74 selepas bijak menyambar tendangan penjuru Keisuke Honda.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menghadiahkan skuad kendalian Akira Nishino tiga mata berharga.

Kumpulan H turut dihuni oleh Poland dan Senegal. -Agensi

Salah Akan Diturunkan Bertemu Rusia

JURULATIH Mesir Hector Cuper bersedia menurunkan Mohamed Salah dan berharap penyerang sensasi itu akan cergas sepenuhnya menjelang aksi Piala Dunia bertemu Rusia.

Kecederaan di bahu memaksa Salah diketepikan pada aksi pembukaan Kumpulan A bertemu pasukan pilihan Uruguay, Jumaat malam.

Mesir tewas 0-1 di tangan Uruguay.

Rusia pula memulakan kempen Piala Dunia dengan cemerlang apabila mengatasi Arab Saudi 5-0.

Dengan kemenangan besar itu, Rusia mendahului Kumpulan A manakala Uruguay di tangga kedua.

Mesir kini perlu sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan tuan rumah itu di St Petersburg pada Selasa untuk terus menghidupkan peluang mara ke peringkat kalah mati.

"Salah sudah cergas. Kami akan sentiasa menjalankan ujian fizikal sebelum mengumumkan barisan kesebelasan utama pemain.

"Dan hari ini kita akan melakukan ujian penting untuk melihat tahap kecederaannya.

"Saya fikir dia boleh diturunkan. Dia merupakan aset utama kepada pasukan," kata Cuper.

Salah menjadi salah seorang pemain digeruni di England apabila menjaringkan 44 gol dalam semua perlawanan untuk Liverpool.

Dia turut menjaringkan 33 gol dalam 57 penampilannya untuk Mesir.

"Selain berbakat, Salah seorang yang gemar merendah diri. Dia pemain penting untuk kami.

"Tiada siapa dapat menafikannya," kata Cuper. -mstar